KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 pelabur warganegara China yang dipercayai tertipu dengan skim pelaburan Richway mahu menyumbat pengendali skim, Alex Wong, seorang warga Malaysia ke dalam penjara.
China Press melaporkan, kumpulan pelabur dari China itu bersedia membuat laporan kepada Kedutaan China di Malaysia dan Pejabat Konsulat Malaysia di Guangzhou untuk tindakan lanjut ke atas Alex.
Skim Richway memasuki pasaran China pada Januari ini dengan menjanjikan pulangan 30 peratus sebulan kepada pelabur yang melabur dalam sektor penternakan dan pertukaran mata wang asing.
Selepas menerima pulangan yang dijanjikan pada dua atau tiga bulan pertama, pengendali skim gagal melunaskan bayaran mulai 20 April.
Keadaan itu menyebabkan pelabur yang melabur antara AS$1,000 hingga AS$3,200 kerugian besar.
“Dalam kalangan kami, ramai yang menggunakan kad kredit untuk melabur dan kini menanggung hutang kad yang tinggi,” kata seorang pelabur kepada China Press.
Menurut pelabur, mereka sebelum ini percaya bahawa duit mereka digunakan untuk projek penternakan di Malaysia dan tidak menyangka akan terjerumus ke dalam skim penipuan.
Skim pelaburan tersebut dikatakan menyediakan maklumat palsu termasuk alamat di Bukit Mertajam, Pulang Pinang yang tidak wujud.
Pelaburan dalam sektor penternakan juga dipercayai adalah projek yang direka-reka. – MalaysiaGazette
Comments are closed.