LONDON – Ibarat pesta gol pada aksi terakhir saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi yang menyaksikan 37 gol terhasil dalam 10 perlawanan.

Tottenham Hotspur paling banyak menjaringkan gol apabila menewaskan Hull City 7-1 yang sebelum ini membelasah Leicester City 6-1 empat hari lalu.

Juara yang baharu dinobatkan, Chelsea pula kenduri gol membenam Sunderland 5-1 manakala Manchester City di bawah kendalian Pep Guardiola membelasah Watford 5-0, sekali gus menyaksikan kelab itu menjamin tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Liverpool turut melakar kemenangan ke atas Middlesbrough 3-0 dan mengesahkan tempat ke pusingan playoff Liga Juara-Juara.

Arsenal pula terpaksa berputih mata biarpun menang 3-1 ke atas Everton tetapi 75 mata keseluruhan yang diraih skuad Arsene Wenger meletakkan mereka di tangga kelima berbanding tempat kedua liga musim lalu.

Sementara itu, Spurs merekodkan jumlah jaringan paling banyak musim ini dengan 86 gol dan cuma bolos 26 kali dengan jumlah perbezaan jaringan 60 gol daripada keseluruhan 38 perlawanan.

Chelsea pula merekodkan jumlah perbezaan jaringan 52 gol tetapi meninggalkan Spurs dengan kelebihan tujuh mata untuk kukuh berada di persada liga.

Dalam pada itu, penyerang Spurs, Harry Kane meledak hatrik keduanya dalam tempoh seminggu bagi menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak liga apabila merekodkan 29 gol daripada 30 perlawanan musim ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast