KUALA LUMPUR – Pelakon Ben Ali tampil meluahkan rasa terkilan dengan syarikat produksi Tsar Asia Sdn Bhd apabila mendakwa kurang menjaga kebajikan pekerja sepanjang menjalani penggambaran filem Dubai My Love di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu.
Ben berkata, dia masih tidak berpuas hati kerana pihak terbabit tidak tampil menjelaskan kejadian sebenar kepada pelakon biarpun insiden itu sudah lama berlaku.
“Saya jenis cakap terbuka dan beritahu apa yang tidak betul jika mana-mana produksi melakukan benda yang sama dan bukan Tsar Asia sahaja.
“Saya masih terkilan kerana selama dua minggu menjalani penggambaran di sana, kebajikan makan dan minum kami seperti diabaikan apabila lewat disediakan hingga ada yang terpaksa membeli makanan lain dahulu bagi mengelak kelaparan.
“Dan pihak produksi kena ingat, harga makana di Dubai sangat mahal dan tidak semua pelako atau pun krew yang tidak terlibat mampu membelinya setiap masa di sana,” katanya serius.
Ben juga mendakwa, pelakon terpaksa membawa sendiri pakaian yang banyak ke sana sini sepanjang penggambaran dilakukan kerana tidak ada perkhidmatan disediakan.
Sementara itu, Pengarah Kreatif Tsar Asia, Aidilfitri Mohamed Yunos berkata, apa yang berlaku adalah salah faham dan pihaknya sudah memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk Ben.
“Kami tidak faham kenapa dia masih tidak berpuas hati. Kami sudah biasa melakukan penggambaran di luar negara. Jika ada masalah kecil itu adalah perkara biasa yang boleh dibawa berbincang.
“Sepanjang berada di sana kami memberikan tempat tinggal dan segala kelengkapan yang sempurna untuk semua. Mungkin dia tidak berpuas hati soal makanan.
“Di Dubai kita disajikan dengan menu Arab dan tidak ada nasi campur atau ayam penyet seperti di Malaysia. Jika dia rasa bosan dengan menu sama, dia boleh beli makanan ikut cita rasa sendiri,” katanya.
Diminta mengulas mengenai promosi filem berkenaan, Aidilfitri berkata, setakat ini semua pelakon memberikan kerjasama yang baik.
Selain Ben, Dubai My Love turut dibintangi Erwin Dawson dan Puteri Najuwa. Filem berkenaan bakal menemui penonton pada September ini. – MalaysiaGazette