HANOI – Kos sara hidup menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengundi Malaysia dan dijangka menjadi satu topik pada kempen pilihan raya umum, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut beliau, terdapat jangkaan umum bahawa pilihan raya akan diadakan pada tahun ini tetapi terpulang kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan masa terbaik.
Katanya, kerajaan telah bekerja keras untuk meningkatkan komunikasi dengan pengundi walaupun dipecahbelahkan oleh pembangkang.
Malaysia merekodkan inflasi lapan tahun tertinggi pada bulan Mac lalu sebelum turun pada bulan April manakala sentimen pengguna di bawah tahap keyakinan sejak pertengahan 2014.
“Orang ramai bimbang kenaikan dolar dan masih tidak berpuas hati tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya, merujuk kepada sistem percukaian yang dilaksanakan dua tahun lalu.
Walaupun tidak ada penurunan pada kadar cukai 6.0 peratus tetapi pemahaman semakin baik berhubung levi dan mengapa negara perlu melaksanakannya, kata Mustapa.
Pelaksanaan GST adalah penyelamat kepada kewangan kerajaan di tengah-tengah kejatuhan harga minyak dunia.
Mengulas mengenai pembangkang, Mustapa berkata: “Kita tidak boleh memandang rendah mereka” sambil menambah ia adalah satu pengajaran yang dipelajari daripada 2013.
Namun, masih berlaku perpecahan di antara mereka, tidak bersatu seperti Barisan Nasional.
Mengenai prospek hubungan dengan Pas, Mustapa berkata, di peringkat tertinggi mungkin telah ada beberapa perbincangan tetapi jelas terdapat cabaran di peringkat akar umbi setelah terlibat dalam pertelagahan dalam tempoh 40, 50 tahun.
“Ia adalah sukar untuk melupakan masa lalu. Pada masa ini kita tidak menjangka satu pakatan dengan cara yang sama dengan Barisan Nasional. Saya tidak melihat Pas menjadi sebahagian besar daripada Barisan Nasional,”.
“Kita lihat perubahan persepsi dalam kalangan mereka mengenai Barisan Nasional, beberapa perubahan,” katanya. – MalaysiaGazette