BAGHDAD – Arab Saudi dan Iraq bersetuju untuk melanjutkan pengurangan bekalan minyak selama sembilan bulan lagi bagi meningkatkan harga minyak.
Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, beliau tidak menjangkakan ada sebarang penentangan berhubung cadangan itu dalam kalangan OPEC.
OPEC dijadualkan bermesyuarat di Vienna pada Khamis ini untuk mencapai kata sepakat untuk memanjangkan tempoh perjanjian yang dicapai pada Disember lalu yang mengurangkan bekalan minyak sebanyak 1.8 juta tong sehari pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, perjanjian baharu itu adalah sama dengan yang ditandatangani pada hujung tahun lalu dengan sedikit perubahan.
Sebarang keputusan akan dimuktamadkan sehingga pertemuan OPEC.
Falih melawat Iraq dalam usahanya untuk memujuk ahli-ahli OPEC melanjutkan pengeluaran bagi menangani lebihan bekalan.
Menteri Minyak Iraq, Jabar Ali al-Luaibi bersetuju dengan Arab Saudi bagi keperluan lanjutan selama sembilan bulan.
OPEC mahu mengurangkan inventori minyak dunia kepada purata lima tahun tetapi sukar kerana peningkatan pengeluaran oleh Amerika Syarikat yang tidak terlibat dalam perjanjian itu. – MalaysiaGazette