KUALA LUMPUR – Kemunculan aktres bernama Putri Najuwa dalam dunia lakonan tanahair bukanlah baru. Sudah 12 tahun sejak dia berusia 20 tahun lagi.
Namun entah di mana silapnya, nama Putri Najuwa atau mesra dipanggil Wawa ini masih tenggelam dan kurang dikenali peminat. Padahal rupa paras cantik dan boleh jual di pasaran.
Cuma pernahlah namanya kecoh sekejap beberapa tahun lalu gara-gara gosip bercinta dengan pelakon popular, Shaheizy Sam. Lepas itu, senyap balik nama anak sulung daripada tiga beradik ini.
Ditanya isu itu, jelas pelakon drama Playboy Itu Suami Aku memberitahu, dia sebenarnya lebih selesa dengan situasi tersebut apabila tidak dikenali dan namanya tidak popular.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana tawaran sentiasa ada dan kadang-kadang memilih untuk tidak menerima selama beberapa bulan mengikut moodnya.
“Lagi satu faktor saya kurang dikenali mungkin kerana tidak ada pengurus dan hanya bergantung tawaran daripada pihak produksi yang mengenali saya.
“Namun saya selesa dengan apa yang dilaluinya. Tidak popular pun tidak apa. Memadainya masih ada tawaran berlakon untuk kelangsungan hidup.
“Nanti kalau popular sangat, kehidupan saya pula tidak bebas. Pergi mana-mana orang kenal.
“Tapi Alhamdulillah, ada peminat yang tegur dan kata mereka pernah nampak saya di televisyen,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Putri Najuwa akan muncul dalam filem pertama berjudul Dubai My Love pada September ini bersama pelakon seperti Erwin Dawson dan Ben Ali.
Jelasnya yang sudah bertunang pada akhir tahun lalu, dia pada mulanya menolak tawaran daripada Tsar Asia Sdn. Bhd. itu kerana tidak memiliki keyakinan diri.
“Saya belum yakin kerana bukan mudah hendak berlakon filem apatah lagi akan menjalani penggambaran di luar negara seperti Dubai hampir dua minggu.
“Tapi apabila duduk berbincang dengan pengarah, Aidilfitri Mohamed Yunos barulah saya berani untuk pegang watak Maria.
“Alhamdulillah, sesi penggambaran telah berjalan lancar dan harap penonton puas hati tengok lakonan saya dalam Dubai My Love nanti,” ujarnya tersenyum manja. – MalaysiaGazette