Aiman Tino
Aiman Tino. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja, Aiman Tino mengakui dia langsung tidak kecewa walapun tewas dua kali dalam dua anugerah hiburan menerusi undian peminat kepada Khai Bahar.

Aiman, 19, berkata, kekalahan itu juga tidak melemahkan semangatnya sebaliknya akan sentiasa memajukan dirinya dalam dunia seni pada akan datang.

Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri memberitahu, semua artis baharu dianggap sebagai kawan baik dan mereka bersaing secara sihat.

“Masa Khai diumumkan pemenang Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, Aiman duduk sebelahnya. Siap bertepuk tangan dan bangun rasa bangga.

“Aiman tidak kecewa langsung dan sudah tertulis rezeki Khai. Dapat masuk Top 5 dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) 3.0 pun Aiman sudah bersyukur dan rasa macam sudah menang.

“Lagipun kalau kita berharap sangat, nanti kalah akan rasa kecewa. Namun kalau menang ia adalah bonus,” katanya.

Dia ditemui pihak media selepas majlis pelancaran Qurta by Sweet Aiman Fashion University di sini hari ini.

Aiman sebelum ini turut tewas kepada Khai dalam Anugerah MeleTOP Era 2017 dalam kategori Artis Baharu MeleTOP.

Sesi fotografi bersama Penyanyi, Aiman Tino selepas selesai Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta itu berkata, dari segi pandangan peribadinya, Khai merupakan artis yang rajin melayan peminatnya di laman sosial seperti Instagram.

Jelasnya, itu antara kelebihan Khai yang sanggup melayan komen para pengikut dan peminat selain sentiasa mengingatkan mereka agar rajin mengundi.

“Aiman pula tidak sempat hendak buat semua itu kerana tiada masa. Pada masa sama, kelompok peminat kami pula berbeza.

“Aiman memiliki peminat yang kebanyakannya di kalangan remaja yang masih bersekolah manakala Khai di kalangan anak muda dan dewasa yang pelbagai umur,” katanya berterus-terang.

Sementara itu, Qurta by Sweet Aiman Fashion University merupakan kerjasama antara syarikat, Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).

Busana itu boleh didapati 25 rangkaian pasaraya Mydin di seluruh negara pada harga RM79.

Pembeli yang bertuah juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM500,000 termasuk kereta Toyota, percutian ke Korea, motosikal Honda RS, telefon Samsung  S6 Edge dan LED TV menerusi peraduan yang dianjurkan.

Aiman sebelum ini turut memperkenalkan produk kecantikan, Sweet Aiman – MalaysiaGazette

Penyanyi, Aiman Tino dan Pengasas Produk Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin bergambar bersama hadiah utama peraduan ‘Soul to Seoul Contest Sweet Aiman’ iaitu kereta selepas selesai Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast