PULAU PINANG – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mempersoal bagaimana tanah milik kerajaan negeri di Lebuh Raya Peel, Georgetown di sini boleh ditukar syarat kepada pembangunan bercampur dalam tempoh singkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar berkata, tanah itu sebelum ini dizonkan untuk pembangunan kerajaan tetapi ditukar bagi tujuan komersial iaitu pembinaan hospital swasta.
Malah, beliau turut mempersoal mengapa pengumuman mengenai urusniaga tanah itu hanya dibuat Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas didedahkan pihak luar khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jelasnya, penjelasan kerajaan negeri kononnya transaksi itu tidak didedahkan kerana `pengumuman hanya akan dibuat oleh pelabur pada masa yang mereka fikirkan sesuai’ adalah tidak munasabah.
Ini kerana, tambahnya, syarikat yang mendapat projek itu bukan syarikat awam sebaliknya hanya Sendirian Berhad.
“Kenapa pelaburan untuk hospital di atas tanah ini dikategorikan sama seperti syarikat multinasional yang melabur di negeri ini?
“Ini adalah pelaburan berskala besar yang bertujuan untuk menambah kemudahan bukan kepada rakyat yang sederhana dan rendah, tetapi yang berpendapatan tinggi dan kepada rakyat asing,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dalam masa sama, Jahara turut mempersoal kelulusan segera atau laluan hijau yang diperoleh syarikat pemaju dalam projek itu yang sudah pun mengemukakan pelan merancang.
Sedangkan, kata beliau, permohonan merancang untuk perumahan rakyat yang dikemukakan oleh agensi-agensi Persekutuan seperti ditangguh dan ditolak Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan pelbagai alasan.
Malah, beliau turut membangkitkan kebimbangan NGO berkenaan transaksi itu khususnya mengenai bangunan warisan berdekatan tanah tersebut yang mungkin akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan hospital swasta berkenaan.
Selain itu, katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga perlu menjelaskan kepada rakyat berkenaan status transaksi tanah tersebut sekiranya syarikat berkenaan tidak mendapat lesen hospital yang diperlukan.
“Menjadi tanda tanya kenapa perlu disorok-sorok sehingga sudah berbau, baru dimaklumkan.
“Perjanjian sudah dibuat pada Disember tahun lalu tetapi baru diumum bulan ini dan kemudiannya terus menghentam pihak yang bertanya. Mana dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) kerajaan negeri?” soalnya. – MalaysiaGazette