Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara peribadi merafak sembah keatas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tiga exco Pas dikekalkan.

Hadi yang kini menjalani fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung berkata, keputusan Sultan Selangor mengekalkan exco Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan titik noktah kepada kemelut yang dihadapi pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

“Sesungguhnya limpah perkenan Tuanku (Sultan Selangor) amat disanjung tinggi untuk memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor demi menjaga kebajikan dan kemakmuran rakyat.

“Patik sepenuhnya meyakini bahawa ketiga-tiga ahli MMKN Selangor dan 10 orang ADUN daripada Pas tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan Sultan Selangor dan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Selangor hari ini bertitah agar tiga exco Pas dikekalkan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keputusan itu dibuat Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta memelihara kepentingan rakyat.

Titah baginda, ia dicapai hasil daripada pertemuan baginda dengan Azmin Ali yang berhasrat mahu mengekalkan ketiga-tiga exco berkenaan sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

Malah satu pertemuan dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Mukhyi bersama tiga ahli Exco berkenaan diadakan antara Sultan Selangor bagi mengetahui pendirian dan kedudukan exco berkenaan dalam kepimpinan Azmin.

Tiga exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi); serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani). – MalaysiaGazette.