KAHERAH – Mesir menyekat 21 laman sesawang termasuk al Jazeera kerana menyokong keganasan, kata agensi berita Mena dan sumber-sumber keselamatan.
MENA yang memetik pegawai kanan keselamatan sebagai berkata memaklumkan, laman sesawang Masr Al-Arabiya yang didakwa dibiayai oleh Qatar juga diharamkan kerana menyokong keganasan.
“Satu sumber kanan keselamatan berkata, 21 laman web telah disekat dalam Mesir kerana mempunyai kandungan yang menyokong keganasan dan ekstremisme juga melakukan pembohongan dalam penerbitan,” kata MENA.
Sumber keselamatan berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap laman web berkenaan, menurut MENA.
Dua sumber keselamatan memberitahu laman web itu telah disekat kerana bergabung dengan Ikhwan Muslimin yang diharamkan atau dibiayai oleh Qatar.
Kaherah menuduh Qatar menyokong Ikhwan yang disingkirkan daripada kuasa di Mesir pada tahun 2013 apabila tentera mengambil kuasa dan menyingkirkan Presiden Islam Mohamed Mursi yang dipilih berikutan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Walau bagaimanapun, Mada Masr, laman web berita yang berpangkalan di Mesir yang digambarkan sebagai progresif dan tidak mempunyai sekutu Islam atau Qatar, juga tidak boleh diakses.
Laman web Huffington Post versi Arab juga tidak boleh diakses, walaupun versi antarabangsa boleh diakses. – MalaysiaGazette