Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

ALOR GAJAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan dua lelaki Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan militan di Marawi, Mindanao pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada masa ini, pihaknya sedang meneliti pengenalan diri kedua-dua lelaki itu sebelum Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan terperinci.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kita sedang meneliti butiran penuh walaupun kita telah kenal pasti identiti dan dari mana mereka berasal.

“Maklumat risikan itu, Bukit Aman yang akan keluarkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Masjid Salmah Khamis di Kampung Durian Daun di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengenai dua rakyat Malaysia dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran itu.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan dengan IS atau Daesh.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia berterima kasih dengan pihak berkuasa Filipina atas kerjasama dan perkongsian maklumat berkaitan isu keselamatan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa Malaysia turut memantau aspek keselamatan negara melalui Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi yang dikendalikan Unit Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.

“Bukan sahaja daripada Filipina, tetapi apa sahaja yang berlaku di Indonesia, kita juga berkongsi maklumat itu dan tindakan dilakukan berdasarkan maklumat berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan PDRM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSComm) dan Polis Sabah supaya sentiasa bersiap siaga dan memperketat kawalan keselamatan di perairan negara untuk memastikan keselamatan rakyat.

Langkah itu juga bagi memastikan negara tidak menjadi kawasan penyembunyian kumpulan yang terlibat dalam pertempuran di Marawi, kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast