KUALA LUMPUR – Selepas desakan supaya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakan jawatan, Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar bertindak keluar parti.

Malah Azrul Suhadi yang juga adik ipar kepada Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman turut menarik lebih 1,000 ahli parti itu untuk keluar parti bersama-sama beliau.

“Kami ingin mengingatkan pemimpin PPBM supaya bermuhasabah dan jangan menuding jari atas apa yang berlaku.

“Semua insiden yang berlaku tidak pernah diambil perhatian oleh Presiden PPBM sendiri, selain kami yakin ada ramai lagi anggota akan meninggalkan PPBM,” kata Azrul memetik satu laporan portal hari ini.

Turut keluar parti Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob yang isytihar keluar parti, berkuat kuasa semalam.

Tindakan itu susulan kegagalan Muhyiddin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu telah diberikan kepada beliau.

Azrul dalam pada itu berkata beliau sangat kecewa selain mengingatkan Muhyiddin bahawa peletakan jawatan anggota parti itu akan meninggalkan kesan negatif kepada imej dan kredibiliti PPBM.

Sebelum ini timbul dakwaan bahawa Hamidah dikenalpasti dalang utama yang mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan presiden parti.

Satu sidang media dibuat oleh Azrul sebelum ini, membuat desakan supaya Muhyiddin letak jawatan namun aktiviti itu didakwa dirancang oleh Hamidah sendiri.

Hamidah bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast