Ketua Polis Daerah Shah Alam (kiri) menunjukkan van yang digunakan Geng Muniandy Kopitiam selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini. Oleh Nizam Zain

SHAH ALAM – Geng ‘Muniandy Kopitiam’ berjaya diberkas sepasukan 16 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kejadian di sekitar Taman Sri Muda, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian kira-kira 4 pagi itu, seramai tiga ahli geng tersebut diberkas anggotanya dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Ronda Bermotor (URB).

Katanya, ketika kejadian, unit MPV sedang melakukan rondaan di Taman Sri Muda mendapati seorang lelaki India dikejar seorang lelaki Melayu yang meminta pertolongan.

“Pada masa itu, lelaki Melayu itu sempat menjerit meminta dan unit MPV terus mengejar dan akhirnya dapat tangkap seorang lelaki India dalam jarak 50 meter selama 40 minit.

“Semasa tangkapan dibuat, lelaki India ini memiliki peralatan pecah rumah termasuk pemutar skrew,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien juga berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki India terbabit baru saja memecah masuk ke sebuah restoran kopitiam di Seksyen 15, di sini.

Menurutnya, lelaki Melayu yang mengejar suspek, Faizalli Mohamad, 23, berasal dari Sabah merupakan seorang pekerja di restoran kopitiam berkenaan secara kebetulan lalu di kawasan itu selepas habis waktu bekerja.

“Dalam masa sama, lelaki India ini mengaku dia datang bersama dua lagi kawannya yang menaik sebuah van,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat itu, dengan gandingan unit MPV dan URB, pihaknya telah berjaya mengesan dan menangkap dua lagi suspek yang menaiki sebuah kebetulan lalu di kawasan di mana suspek pertama diberkas.

“Unit MPV dan URB sama-sama mengejar van tersebut yang memecut laju dan membahayakan pengguna lain dengan melalui laluan songsang.

“Nasib baik pagi itu kenderaan tidak banyak dan tidak berlaku kemalangan. Akhirnya unit MPV dan URB berjaya mengepung mereka di Sekysen 17 dapat tangkap van tersebut di mana ada dua lelaki India,” jelasnya.

Jelasnya, semakan rekod mendapati van tersebut telah dicuri pada 24 Mei lalu di Taman Sri Muda di sini.

“Kumpulan ini adalah sasaran kita sejak dua dan tiga bulan lepas kerana dipercayai bergiat aktif pecah rumah dan samun di sekitar Taman Sri Muda,” ujarnya.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an dan kini ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Antara senjata yang ditemui ketika suspek diberkas ialah pemutar skrew dan peralatan lain untuk memecah kedai dan rumah.

Ketiga-tiga suspek yang menjadikan restoran dan kopitiam sebagai sasaran utama mereka disiasat di bawah Sekysen 457 Kanun Keseksaan dan Sekysen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana Kesalahan Mencuri Sebuah Kenderaan Motor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast