Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2017.
PUTRAJAYA – Pemimpin DAP dan PKR dicabar tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan dana RM18 bilion untuk program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton sejak 1983.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, berdasarkan rekod lama kedua-dua parti pembangkang itu, mereka turut mendesak Badan Pencegahan Rasuah (sekarang SPRM) menyiasat Proton.
“Rekod lama menunjukkan PKR dan DAP mahu kebenaran. Tun Dr Mahathir Mohamad kini pula berada di sebelah sana (pembangkang). Mereka harus menyokong dan datang beri penjelasan kalau SPRM panggil.
“Saya minta DAP dan PKR datang sekali, jangan sekadar atas kertas (kenyataan saja) tunjukkan sokongan (siasat Proton),” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu Ramesh bersama enam ahli NGO itu menyerahkan memorandum mendesak SPRM menyiasat dakwaan salah laku rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran serta pengurusan Proton.
Semalam, bekas naib pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tunku Abdul Aziz Ibrahim mempersoalkan pemilik sebenar di sebalik syarikat automotif nasional itu.
“Proton ini milik siapa sebenarnya? Adakah milik Syed Mokhtar? Adakah milik kerajaan ataupun milik Tun Dr Mahathir Mohamad, kita pun tak tahu. Jadi biar SPRM yang siasat,” jelasnya.
Ramesh turut mendakwa kos untuk membangunkan model Iriz sehingga RM600 juta tidak masuk akal dan ia dakwanya jauh lebih tinggi berbanding kos R&D jenama Ferrari.
“Kebanyakan kereta Proton yang kita tahu, ia adalah diubah kulit sikit, jadi saya tak nampak R&D di mana, macam mana Proton buat R&D, adakah R&D luar biasa yang dibuat.
“SPRM kena buka kertas siasatan, dimulakan dengan Proton, bagaimana berlaku kerugian, ketirisan, di mana kesilapan, kita tak mahu tuding jari sesiapa, tapi kita mahu akaun forensik dilakukan terhadap Proton,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast