Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad. foto SAFWAN MANSOR, 19 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik keputusan pembebasan dua wakil rakyat PKR dan empat individu lain daripada tuduhan menghalang pihak berkuasa ketika perhimpunan bantahan #PecatIGP pada Mac 2015.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan pembebasan itu sebagai satu kemenangan kepada hak berhimpun secara aman.
“Keputusan ini mengesahkan bahawa demonstrasi tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan tidak sepatutnya dirumitkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara yang dibebaskan daripada dakwaan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang selaku Setiausaha Agung AMK dan ADUN Simpang Pulai yang juga Naib Ketua AMK, Tan Kar Hing.
Mereka bersama empat individu lain didakwa menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjalankan tugas semasa perhimpunan bantahan #PecatIGP pada Mac 2015.
Mengulas lanjut, Nim Nazmi juga menyeru pihak pendakwaan dan kerajaan agar tidak merayu semula keputusan kes berkenaan.
“Mereka sepatutnya berbincang dengan pertubuhan masyarakat madani untuk menjalankan reformasi ke atas pelbagai undang-undang dan prosedur.
“Ini bagi memastikan hak berhimpun diberikan dengan sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette