Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Ramesh Rao. Foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) akan membela ahli dan bekas ahli DAP yang disaman kerana mempersoalkan pucuk pimpinan parti itu sebelum ini.

Presidennya, Ramesh Rao berkata, pembelaan itu wajar diberikan memandangkan ramai ahli dan bekas ahli DAP kini berdepan dengan tindakan mahkamah hingga menyebabkan mereka muflis.

Sehingga kini, menurut Ramesh, kira-kira 10 ahli dan bekas ahli DAP telah disaman kepimpinan parti selepas mempersoalkan kredibiliti mereka.

“Mereka (kepimpinan DAP) cukup suka ugut orang. Bila soal sikit, dia akan saman. Bila mereka keluarkan notis, dalam 14 hari kamu (ahli DAP) kena jawab.

“Kalau kita tak mampu ambil peguam, secara automotik mereka bersalah, akan dijatuhkan hukuman muflis. Taktik ini amat kotor dan ramai ahli DAP yang disaman hingga muflis,” katanya pada sidang media di perkarangan pejabat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di Bandar Manjalara di sini hari ini.

Menurut Ramesh, bantuan seumpama itu juga ditawarkan oleh sekumpuan peguam daripada DAP sendiri yang jelas sudah muak dengan kepimpinan parti itu sekarang.

Beliau turut mendakwa, budaya tindakan mahkamah ke atas ahli DAP itu bermula sejak tahun 2008 selepas mereka ‘menawan’ Pulau Pinang dalam PRU-12.

“Sebelum tahun 2008, DAP selalu kata ketelusan, anti rasuah, jangan salah guna kuasa, itu yang kami diajar.

“Bila pemimpin sendiri berasuah, salah guna kuasa, kita bersuaralah. Bila bersuara, akibatnya, kena saman. Ini modus operandi DAP untuk mengugut dan menakutkan ahlinya.

“Mereka ini hanya saman ahli yang lemah saja, kalau ahli boleh ambil peguam, dia takkan saman, kalau tak mampu bayar peguam, DAP akan saman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette