Tan Chee Chong (kanan) bersama Yap Kon Min menunjukkan kos guaman yang perlu dijelaskan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di hadapan pejabat Parlimen itu di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh Nizam Zain
KUALA LUMPURAhli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng didakwa masih gagal membayar pampasan berhubung kes fitnah lebih RM27,000 kepada bekas ahli DAP, Yap Kon Min sejak tahun 2012 sehingga kini.
Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa & Hal Ehwal Cina, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tan Chee Chong berkata, kos guaman berjumlah RM3,500 itu masih tertunggak akibat kelewatannya membayar pampasan itu.
“Dia punya kes sudah tutup, mahkamah sudah putuskan Kon Min di pihak yang benar, dia mesti bayar pampasan RM27,000 kepada Kon Min, tapi dia tak dengar arahan mahkamah (bayar pampasan).
“Bila saya tanya, bila nak bayar pampasan, Lip Eng cabar saya untuk hantar saman kepadanya, bila saya lantik peguam tuntut pampasan dari mahkamah hingga mahu sita pejabat Lip Eng, tapi sampai sekarang tidak dibayar,” katanya.
Terdahulu, Chee Chong bersama Kon Min hadir ke pejabat Ahli Parlimen Segambut itu untuk menuntut bayaran kos guaman berhubung kes saman fitnah Lip Eng pada awal tahun 2012.
Bagaimanapun, Chee Chong yang hadir bersama Presiden PMSP, Ramesh Rao gagal untuk menyerahkan tuntutan itu berikutan tiada seorang pun kakitangan pejabat berkenaan yang bertugas pada hari ini.
Mengulas lanjut, Chee Chong memberi amaran sekiranya pemimpin DAP tersebut masih berdegil dan tidak mahu membayar kos guaman berkenaan, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah.
“Dia tak ikut arahan mahkamah, kalau nak jadi wakil rakyat, jangan tunjuk sikap sebegini, kalau bersalah, kena akur arahan mahkamah,” tegasnya.
Chee Chong berkata lagi, Lip Eng tidak layak jadi calon DAP pada PRU-14 akan datang sekiranya beliau terus bersikap sebegini dan tidak menghormati undang-undang negara.
“Ini kali Lip Eng jangan jadi calon lagi, kerana dia tak layak jadi wakil rakyat, kerana dia tak hormat undang-undang negara kita,
“DAP jangan sesekali bawa calon macam ini, kita tak mahu calon sebegini,” katanya.
Sementara itu, Kon Min pula berkata, mahkamah telah mengarahkan ahli Parlimen Segambut itu membayar pampasan selewat-lewatnya sebulan dari tarikh perbicaraan tamat.
“Saya tunggu sampai tiga bulan, dia langsung tak ada hubungi saya, langsung tak bayar, saya bincang dengan Chee Chong nak pakai peguam minta pampasan.
“Sampai sekarang hampir 18 bulan, peguam cakap boleh tuntut balik, kalau dia tak bayar kita akan ambil tindakan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast