Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Program Nur Ramadan 2017 Parlimen Cheras di Masjid Jamek Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2017.

KUALA LUMPUR Ahli Parlimen Subang dari PKR, R. Sivarasa dilihat semakin ‘ketagih’ berpolitik gara-gara tindakannya yang memasuki ruang solat di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang minggu lalu untuk berceramah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketagihan pemimpin pembangkang itu tidak dapat dibendung susulan mereka tiada program untuk bertemu dengan rakyat.

“Saya bukan cakap politik, Sivarasa cakap politik. Kita bawa Datuk Loga (timbalannya, Loganathan) dia pun tak cakap politik, kita datang buka puasa, kita sembahyang dia pun balik bukan ambil mickrofon cerita dalam surau, cerita dalam masjid mengenai politik.

“Inilah puak-puak ketagih yang tak ada program, yang tak pernah jumpa rakyat, dia jadi ketagih, bila ketagih mereka akan lakukan apa-apa yang boleh menghilangkan ketagihan mereka,” katanya selepas merasmikan program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Alam Shah, Cheras petang tadi.

Rabu lalu, tindakan Sivarasa yang memasuki ruang solat di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang menimbulkan kontroversi apabila beliau didakwa menyampaikan ceramah untuk meraih sokongan politik.

Bagaiamanapun Sivarasa menafikan perkara tersebut dan mendakwa beliau dijemput Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kota Damansara untuk menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di kawasan parlimennya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan juga membidas sikap kerajaan Selangor yang didakwanya masih enggan membeku dan menarik balik lesen hiburan keluarga hingga menjadi pusat perjudian di Lembah Klang.

“Lesen-lesen hiburan keluarga dah lama beku, dah berhenti kerana kita tahu ini punca tempat perjudian.

“Apa yang berlaku di Selangor? Itu yang Sivarasa ketagih, rakyatnya pun ketagih (sebab) pusat judi ibarat cendawan tumbuh di pinggir Wilayah Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast