Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – Kerajaan China hari ini menyerahkan senarai 100 nama warganegaranya yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah kepada Kementerian Dalam Negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kesemua individu itu dipercayai terlibat dalam jenayah keganasan, penipuan telekomunikasi, dadah dan jenayah rentas sempadan dipercayai berada di negara ASEAN termasuk Malaysia.

Katanya Malaysia khususnya melalui Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan, penahanan dan seterusnya penghantaran pulang ke negara asal, sekiranya mereka didapati berada di negara ini.

“China berkongsi senarai itu dengan kita. Tetapi kita perlu siasat sama ada suspek-suspek masih berada di Malaysia.

“Suspek-suspek warganegara China bukan hanya memilih sebagai tempat persembunyian tetapi mereka juga sedang beroperasi di negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun dan delegasinya yang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia sejak Rabu lalu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Malaysia melakukan tiga kali penghantaran melibatkan 134 tahanan China ke Beijing iaitu pada tahun 2014, 2015 dan 2016 menggunakan kapal terbang yang dihantar China ke Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast