Kemalangan di Kampung Telekong, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu mengorbankan tujuh pelajar tahfiz dan mencederakan tujuh yang lain.

KUALA LUMPUR – Seperti tahu ajalnya tiba di bulan Ramadan, seorang pelajar tahfiz yang maut dalam kemalangan di Kampung Telekong, dekat Machang, Kelantan kelmarin, ada mencatatkan 10 semangat dan azamnya dalam sekeping kertas.

Dalam kertas bertajuk, Ini semangat ku dan azam ku dalam Ramadan ini, menyahut saranan Nabi Allah (Muhammad SAW), Allahyarham Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, turut menulis, “Mati di bulan Ramadan dengan keredhaan-Nya” sebagai antara azamnya.

Catatan itu ditemui rakannya, yang kemudian tular di laman sosial dengan nota, “Nabi kita sebut bulan ini bulan agung, bulan mulia atau Tamu Agung” dan diakhiri dengan, “Allah mencatat niat kita di atas (semangat dan azam) sebagai pahala atas sifat-Nya”.

Dipercayai Muhammad Hakimi menulis semangat dan azamnya itu ketika dalam sesi pembelajaran di mahaad berkenaan pada 24 Mei lalu kira-kira jam 9.55 malam.

Antara semangat dan azam ditulisnya ialah “Selalu berdoa kebaikan kepada umat Islam”, “Mengkhatam al-Quran”, “Qiamullail”, “Menginfaqkan harta dan lain2 (sekadar mampu)”, dan “Meninggalkan perkara syubhah/mungkar”.

Dia juga turut menulis, “Bercakap perkara penting sahaja”, “Bertahan diri daripada berkeluh kesah”, “Husnudzon (bersangka baik kepada Allah)”, “Buang sifat keegoaan diri” dan “Mati di bulan Ramadan dengan keredhaan-Nya” sebagai antara semangat dan azamnya.

Allahyarham Muhammad Hakimi antara tujuh pelajar tahfiz yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Telekong, Jalan Kuala Krai – Kota Bharu kira-kira jam 9.45 pagi Jumaat.

Dalam kemalangan membabitkan van Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang dinaiki sekumpulan pelajar tahfiz itu turut mencederakan tujuh yang lain.

Enam yang meninggal dunia ialah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14; Sarifuddin Muhammad, 14, (warga Thailand); dan Ahmad Farhan Zulkifli, 14.

Allahyarham Muhammad Hakimi yang berasal dari Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKR) pada jam 3.50 petang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Zulkarnain Ismail Al Haj, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.55 pagi apabila van tersebut terbabas dan telah merempuh sebuah rumah kayu di tepi jalan.

“Punca dan siasatan lanjut mengenai kejadian ini masih dijalankan,” katanya.

Tujuh lagi mangsa kemalangan tersebut masih dirawat di HKR dan Hospital Machang (HM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast