Pemilik TEH Songket, Siti Khatijah Maliki menunjukkan kain songket jahitan tangan yang dijual dikedainya yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Biarpun negara dilanda arus permodenan, namun menjelang Aidilfitri pastinya songket dan songkok juga dicari bagi padanan baju Melayu dalam apa rekaan sekalipun.

Tatkala ratusan rekaan terkini busana Aidilfitri di pasaran, tarikan kepada songket dan songkok tidak dapat ditolak ke tepi dan masih menebal dalam budaya masyarakat Melayu.

Oleh itu, bagi memastikan songket dan songkok seiring dengan arus permodenan masa kini, eleman eksklusif diterapkan kepada songket dan songkok oleh pengusahanya.

Bagi pemilik Teh Songket di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih sinonim dengan jalan TAR, Siti Khatijah Maliki, corak bunga penuh dan corak bunga tabur keluarannya dimodenkan bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Ternyata percaturan itu membuahkan hasil apabila jualannya kini meningkat daripada biasa.

Temubual bersama Pemilik TEH Songket, Siti Khatijah Maliki, 42 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

“Sambutan untuk produk kami sangat memberangsangkan dan kami sudah lama berniaga disini, jadi sudah ada pelanggan tetap.

“Malah ada media sosial seperti Facebook dan Instagram, jadi produk kami lebih meluas pasarannya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Biarpun eksklusif, namun pelanggan masih boleh memiliki songket keluaran syarikatnya pada harga yang berpatutan.

Harga bagi songket tenunan mesin eksklusifnya, pelanggan boleh memilikinya dengan harga RM80 sepasang.

Malah ada juga variasi tenunan tangan eksklusif dengan harga bermula RM850 sepasang.

Dianggarkan songket keluarannya mencecah pemintaan 20 pasang sehari dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga saat-saat akhir Ramadan.

“Antara yang selalu membeli songket daripada kami seperti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, dan ramai lagi,” katanya.

Penjual Songkok, Abdul Razak Ahmad meyusun songkok digerainya yang terletak di Bazar Ramadhan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

Selain songket, songkok turut menjadi ‘pisang goreng panas’ di Jalan TAR ini sehinggakan bekalan terpaksa ditambah sekali ganda daripada biasa.

Menurut pengusaha songkok, Abdul Razak Ahmad, 48, rata-rata pelanggannya memilih untuk mendapatkan songkok eksklusif tradisional.

Ia lebih menetapi citarasa mereka apabila bergaya dengan baju Melayu baru di pagi raya, katanya.

Temubual bersama Penjual Songkok, Abdul Razak Ahmad, 48 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

“Orang akan cari songkok ini pada pertengahan Ramadan. Masa itu kami akan sibuk dengan jualan.

“Pelanggan akan cari songkok yang tradisional, mereka lebih suka membeli yang sebegitu bagi dipadankan dengan baju Melayu dan songket yang dipakai pada pagi raya,” demikian katanya.

Jelas Abdul Razak lagi, yang paling dicari pelanggannya adalah songkok baldu hitam yang menjadi ikutan masa kini.

Malah ada yang sanggup membayar RM100 bagi satu songkok semata-mata untuk mencari kelainan dan memenuhi kepuasan hati mereka.

“Ada yang sanggup tempah songkok khas bagi hari raya untuk ditunjukkan kepada keluarga masing-masing.

“Pelanggan akan cari songkok yang murah pada kualiti yang terbaik. Kami jual RM15 bagi saiz kanak-kanak. Bagi dewasa ada yang sanggup bayar RM100 bagi satu songkok tempahan khas,” ujarnya yang kini sibuk memenuhi tempahan pelanggannya.

Selain masyarakat Melayu yang datang ke kedainya untuk membeli songkok, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang datang membeli songkok untuk dihadiahkan kepada rakan taulan mereka yang menyambut Aidilfitri. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast