FXBitLab Holdings Sdn. Bhd, syarikat yang terbabit dalam penyediaan penyelesaian kewangan memperkenalkan aplikasi Blockchains.my bagi mengatasi masalah susut nilai mata wang akibat proses pemindahan antara negara.
KUALA LUMPUR – FXBitLab Holdings Sdn. Bhd., penyedia penyelesaian kewangan kini memperkenalkan aplikasi Blockchains.my sebagai platform baharu yang bakal menjadi pilihan utama bagi rakyat Malaysia tidak lama lagi.
Pengasas syarikat, Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal berkata, ini kerana aplikasi yang menggunakan teknologi blockchain (rantaian blok) itu merupakan salah satu alternatif pelaburan dan platform selamat untuk transaksi pemindahan wang ke luar negara.
Jelasnya beliau, aplikasi itu juga membolehkan orang ramai membeli-belah di luar negara tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak.
Menurutnya, syarikat telah terlibat dalam teknologi blockchain sejak tahun 2014 dan ketika itu beroperasi di Hong Kong dan Singapura.
“Kami bermula di sana dan terlibat dalam perniagaan tersebut kerana infrastruktur blockchain ketika hanya disediakan di dua buah negara tersebut.
“Namun teknologi itu semakin diterima orang ramai dan kini adalah masa terbaik untuk kami meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai blockchain dan manfaat yang bakal diperoleh pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung operasi perniagaan FXbitLab di sini baru-baru ini.
FxBitLab Holdings diasaskan oleh Datuk Muhd Azrainuddin Zainal dan
Datin Nur Ezdiani Baharoddin.
Teknologi blockchain yang mula dihasilkan pada 2008 dan dilaksana pada 2009 adalah revolusi teknologi yang mengutamakan ketelusan bagi setiap transaksi.
Teknologi itu berupaya diguna melalui pelbagai aplikasi, termasuk sistem pembayaran, mata wang digital, penemuan saintifik dan sistem undian.
Muhd. Azrainuddin menjelaskan, antara kelebihan teknologi blockchain apabila pengguna boleh melakukan pindahan wang tunai ke luar negara secara digital dengan mudah dan murah malah lebih selamat kerana ia kalis digodam.
“Melalui kemudahan tersebut, mereka yang mahu melakukan pindahan wang tunai ke luar negara tidak perlu menunggu sehingga tiga hari untuk proses pemindahan wang.
“Ini kerana teknologi blockchain hanya mengambil masa beberapa minit serta melibatkan kos paling minimum,” jelasnya.
Datuk Muhd Azrainuddin Zainal.
Muhd. Azrainuddin berkatan, keunikan e-wallet Blockchains.my adalah  dompet digital (e-wallet) itu yang dibangunkan memiliki tahap keselamatan yang melalui proses yang teliti dengan menggunakan sistem pengenalan biometrik. I
“Ianya adalah suatu platform yang memudahkan proses membuat pembayaran, perdagangan (pusat beli-belah digital) dan pertukaran mata wang digital dan emas di kalangan pengguna.
“Dompet digital (e-wallet) ini juga diintegrasikan dengan Kad Debit Visa & Kad ‘Near Field Communication’ (NFC) untuk mewujudkan kesepaduan antara perkhidmatan kewangan konvensional dan pasaran industri teknologi kewangan yang berteraskan teknologi digital paling terkini di dunia.
“Media sebelum ini juga melaporkan teknologi blockchain akan digunakan secara besar-besaran di Malaysia menjelang tahun 2025 namun kami membuktikan ia sudah bersedia digunakan pada tahun ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhd. Azrainuddin berkata, syarikatnya menyasarkan transaksi penggunaan blockchain bakal mencecah kepada RM30 juta pada tahun ini yang melibatkan semua pelabur dari rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, transaksi di negara ini bakal menyumbang sebanyak 20 peratus. – MalaysiaGazette