KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) mengarahkan masjid-masjid utama di semua daerah mengekalkan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga witir melalui pekeliling yang diedarkan pada 1 Jun baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Mutimedia Dan Tugas-tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan situasi semasa memandangkan jemaah mempunyai keselesaaan untuk beribadah.
“Kalau kita lihat, sebahagian besar masjid dilengkapi dengan alat penyaman udara dan ada setengahnya mempunyai kipas besar yang sangat selesa untuk jemaah mengerjakan solat.
“Jadi tidak timbul sebarang masalah imam atau jemaah mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Itu yang kita sarankan dan kita dapati para imam tidak membaca surah yang panjang, hanya surah yang pendek sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri Ajil di sini, malam tadi.
Kata Ghazali, tidak akan timbul tekanan kerana solat tarawih adalah salah satu latihan senaman yang baik kepada jemaah.
“Kita tidak akan mengenakan tindakan atau denda kepada masjid yang gagal mematuhi arahan pekeliling yang telah dikeluarkan kerana ini adalah soal ibadah dan JHEAT cuma memainkan peranan mereka untuk yang terbaik di Terengganu,” katanya.
Seorang makmum Masjid Ladang, Kuala Terengganu, Che Rozaib Salleh, 45 berkata, perlaksanaan solat terawih itu sebenarnya bergantung kepada individu dan mengikut keperluan masing-masing.
“Kita mendengar kisah kalau zaman baginda nabi (Muhammad SAW) dahulu hanya dilaksanakan lapan rakaat, tapi imam-imam besar selepas kewafatan baginda membenarkan solat tarawih kepada 20 rakaat.
“Sekarang, ruang solatnya juga sudah besar, makmum tidak berasak-asak seperti dahulu, pengudaraan yang bagus dan selesa dan tiada sebab untuk kita tidak melaksanakannya,” katanya. – MalaysiaGazette