HARYANA, India – Seorang bayi berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat parah di kepala selepas dicampak dari kenderaan autorickshaw (kenderaan tiga roda) semasa ibunya dirogol sekumpulan lelaki.
Dalam kejadian pada 29 Mei lalu, mangsa yang berusia antara 19 hingga 20 tahun itu memberitahu polis bahawa dia telah diserang selepas menaiki autorickshaw bersama bayinya pada tengah malam.
Mangsa dalam perjalanan ke kediaman ibubapanya di Gurgaon, Haryana, India.
Dua suspek lelaki dipercayai berada dalam kenderaan itu sebelum cuba merogol mangsa sebaik sahaja wanita itu menaiki autorickshaw.
Menurut mangsa, bayinya menangis sebelum dicampak keluar oleh suspek dan dia dilarikan ke sebuah kawasan lapang dan dirogol secara bergilir oleh dua suspek itu.
Komisioner Polis di Gurgaon Sandeep Khirwar berkata, pihaknya sedang menyoal siasat beberapa orang berkaitan kes tersebut dan mengharapkan perkembangan terbaharu termasuk tangkapan dilakukan secepat mungkin.
Ia merupakan kes ketiga dalam tempoh sebulan di negeri itu.
Kira-kira 40,000 kes rogol dilaporkan setiap tahun di India namun dikhuatiri angka sebenar lebih tinggi kerana kebanyakan mangsa rogol takut untuk melaporkan kepada polis akibat trauma.
Undang-undang jenayah seksual diperketatkan selepas kejadian rogol secara kumpulan melibatkan pelajar di Delhi pada 2012.
Pada Mei lalu, polis menahan seorang lelaki yang didakwa menculik, merogol dan membunuh bekas teman wanitanya dan menghantuk kepalanya dengan batu.
Dalam satu lagi kejadian, kanak-kanak berusia 10 tahu ditemui hamil lima bulan selepas dianiayai secara seksual oleh bapa tirinya.
Mangsa kemudian dibenarkan untuk mengugurkan bayi dalam kandungan walaupun undang-undang di India melarang pengguguran bayi selepas 20 minggu. – Agensi