Gambar hiasan

CHICAGO – Sawin Osman, seorang pelajar sekolah menengah yang dilahirkan dan dibesarkan di Chicago memberitahu Yahoo News bahawa dia dan rakan-rakannya telah diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali hanya kerana memakai tudung.

Menurut Sawin, dia dan rakan-rakanya sedang menikmati hidangan berbuka puasa di sebuah restoran Mexico, Pepe di Hickory Hills sebelum seorang lelaki pertengahan usia membuat komen biadap termasuk mengejek berat badan salah seorang rakannya serta mempersendakan agama Islam.

Salah seorang rakan gadis berusia 17 tahun itu merekod video insiden tersebut menggunakan telefon pintar.

“Kami sedang berjalan di hadapannya untuk ke restoran sebelum lelaki tersebut menjerit “perempuan itu boleh patahkan tulang belakang unta,” kata Sawin.

“Kami berhenti dan bertanya kepada lelaki tersebut apa yang dikatakannya.

“Tetapi lelaki menjawab “jika awak tidak suka, sila tinggalkan negara ini.

“Saya beritahu lelaki berkenaan, ini tempat saya juga. Apa yang awak maksudkan tinggalkan tempat ini?,” katanya.

Ibu Sawin, Catherin Bronson yang merupakan seorang professor Kajian Islam di Universiti Notre Dame manakala bapa tirinya, Sean Anthony pula profesior Kajian Islam di Universiti Ohio State.

Menurut Sawin, insiden tersebut menunjukkan golongan anti-Islam merupakan masalah besar di Amerika Syarikat.

“Jujur saya katakan, saya menyampah dengan komen “Jika awak tidak suka, boleh tinggalkan tempat ini.”

“Sedangkan saya dilahirkan dan dibesarkan di sini. Saya hendak ke mana jika tinggalkan tempat ini?”

Jelasnya, kesemua rakanya di restoran itu adalah dari Chicago.

“Hanya kerana kami memakai tudung, tidak bermakna kami bukan orang tempatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette