Ir Zohari Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Pengendali monorel, Rapid Rail menghentikan perkhidmatan tren empat gerabaknya sebagai langkah keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, perkhidmatan tren itu dihentikan selepas mengenal pasti risiko yang mungkin terjadi disebabkan tren itu yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Tren tersebut telah diserahkan kepada syarikat pembekal, Scomi untuk pemeriksaan semula dan pembaikan serta kami sudah memaklumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkenaan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, hanya tren dua gerabak yang akan beroperasi dengan kadar frekuensi setiap lapan minit.

Perkhidmatan monorel akan dibantu dengan perkhidmatan shuttle khas daripada bas Rapid KL, yang akan berulang-alik antara stesen monorel utama ketika waktu puncak pagi dan petang pada hari bekerja.

“Jika perlu terutama sekali menjelang sambutan Hari Raya ini, kami bersedia mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu perkhidmatan shuttle pada hujung minggu.

Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan mohon kesabaran dan semua pengguna faham situasi ini sehingga ia diselesaikan,” katanya.

Zohari berkata, berikutan ini, beliau mencadangkan pengguna untuk menggunakan pengangkutan lain seperti sisten Transit Aliran Ringan (LRT), teksi atau perkhidmatan awam lain untuk ke destinasi mereka di sekitar Segitiga Emas Kuala Lumpur.

Pihaknya akan membuat pembayaran balik jika penumpang membuat keputusan untuk tidak menaiki tren dan keluar dari stesen jika berlaku kes kelewatan tren lebih daripada 15 minit. – MalaysiaGazette