JOHOR BAHRU – Siapa yang sampai hati melihat anak kecil meneguk air liur gara-gara tidak mampu membeli air berwarna-warni yang berderet dijual di bazar Ramadan.
Apatah lagi jika anak-anak kecil itu merengek dan terpaksa berlalu pergi dengan rasa terkilan kerana tidak dapat apa yang dihajati.
Sekumpulan enam sahabat yang pernah melalui pengalaman melihat anak-anak kecil dalam keadaan sebegitu ketika mereka berniaga di bazar Ramadan tahun lalu terdorong untuk membuat sesuatu.
Lantas pada tahun ini mereka mengambil inisiatif mengedarkan air minuman pelbagai perisa kepada golongan memerlukan secara percuma di Bazar Taman Pulai Utama di sini setiap hari.
Menurut wakil kumpulan itu, Engku Munirah Engku Ismail berkata, melihat insiden kanak-kanak kecil itu semasa berniaga di bazar pada tahun lalu membuatkan dia dan rakan-rakan mendapat idea untuk memberi air percuma.
Katanya, dia dan rakan-rakannya sedar tidak semua orang yang ke bazar Ramadan mampu membeli makanan atau minuman yang mereka ingini sekali gus diharap sedikit sebanyak dapat membantu golongan kurang berkemampuan.
“Dibuka setiap hari sepanjang Ramadan tak kira berapa kos kerana memang kami ikhlas hati, kalau beli barang memang tak kira mana yang termampu kami buat saja.
“Kalau ada sambutan kita akan tambah lagi. Masa mula dulu susah lah sebab kita nak panggil orang untuk datang ambil tetapi sebab dah viral ni senang dah tak perlu panggil,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, mereka yang datang mengambil air berperisa percuma itu bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat malah pekerja asing yang beragama Islam juga turut sama.
Beliau berkata, menerusi usaha yang mereka gerakkan itu, ramai pihak dan individu tampil memberi sumbangan kepada mereka untuk bersedekah dalam pelbagai bentuk antaranya gula pasir. – MalaysiaGazette.