Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Kumpulan Media Prima Bhd. membetulkan kenyataan yang mengatakan Tan Sri Ismee Ismail telah dilantik sebagai Pengerusi kumpulan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan media terbesar negara itu, Ismee ketika ini adalah Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Media Prima yang dilantik sejak 1 Jun lalu.

“Pelantikan pengerusi baharu akan dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah Media Prima yang akan datang.

“Ini bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh pengerusi sekarang, Datuk Seri FD Iskandar yang mahu meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada perniagaannya,” kata kenyataan itu sambil menambah pelantikan baharu akan diumumkan oleh kumpulan kepada pihak berkuasa selepas mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan Ismee akan dilantik sebagai pengerusi baharu Media Prima.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai spekulasi perubahan teraju Media Prima selepas pelantikan Ismee.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast