PUTRAJAYA – Kira-kira 20 peratus atau kira-kira 2,600 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sahaja yang dibenarkan bercuti sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri nanti.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Majlis Sumbangan Hari Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada 30 Anak-Anak Yatim Kota Warisan di sini petang tadi.
Menurut Noh, permohonan cuti untuk musim perayaan ini bermula 18 Jun ini.
Dalam sidang media yang sama, Noh memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah memulakan pemeriksaan ke lokasi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, pasar dan pasar raya.
“Kira-kira 5, 000 lokasi seluruh negara diperiksa dengan tujuan pemeriksaan keselamatan melibatkan lif, eskalator, pintu serta laluan pejalan kaki,” jelasnya.
Pemeriksaan sejak awal Ramadan sedang dijalankan untuk memberi keselesaaan kepada orang awam serta mengelak perkara yang tidak diingini, katanya.
Sehingga kini,menurut Noh, kira-kira 2,000 lokasi telah diperiksa dan pemeriksaan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati.- MalaysiaGazette