Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang berlaku di Tehran pada Rabu lalu di makam Ayatollah Khomeini dan bangunan Parlimen Iran.

Serangan itu telah meragut sekurang-kurangya 12 nyawa orang awam dan ramai tercedera.

Bagaimanapun, Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Malaysia merakamkan takziah dan simpati kepada Kerajaan dan rakyat Republik Islam Iran dan keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan ini.

Serangan pengganas itu disifatkan sebagai lebih tragik memandangkan ia berlaku dalam bulan Ramadan.

Keganasan merupakan ancaman global dan serangan di Tehran sekali lagi menunjukkan pentingnya masyarakat antarabangsa bersatu dalam menanganinya.

“Kementerian Luar, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau situasi ini,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai atau warga Malaysia di Tehran untuk sebarang kecemasan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi alamat dan nombor telefon Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di
No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Eyvanak Blvd, Phase 4, Shahrak Qods, Tehran, Republik Islam Iran.

Orang ramai juga boleh berhubung menerusi email [email protected] atau di talian 00 98 21 8807 2444, 00 98 933 535 2606 (selepas waktu pejabat).- MalaysiaGazette