KUALA LUMPUR – Pas dijangka tidak akan menghantar calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut, Sarawak pada 4 Julai ini kerana menunggu keputusan rasmi daripada mahkamah berhubung permohonan injunksi daripada DAP berhubung perkara yang sama,
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas juga akan memuktamadkan perkara itu dalam mesyuarat khas parti Islam itu, esok.
“Pas akan buat mesyuarat esok di mana kita akan buat keputusan (muktamad). Tapi kita telah kita dah turun (Pujut), pengarah pilihan raya sudah turun dan ada pertemuan dengan Pas Sarawak, kita ada maklum balas.
“Pujut ini sebenarnya masih tergantung, sebab DAP sendiri ada buat injuksi mahkamah untuk menangguhkan pilihan raya tersebut. Kita akan tengok perkembangannya,” katanya ketika Program Ramah Mesra Pimpinan Pas Pusat dan Media di Rabbani Lamb House di sini petang tadi.
Rabu lalu, DAP Sarawak memfailkan saman memohon mahkamah menangguhkan PRK Pujut supaya bekas Adun kawasan itu, Dr. Ting Tiong Choon yang kehilangan kelayakannya diisytiharkan sebagai tidak sah.
Tiong Choon juga memohon pengisytiharan Mahkamah Tinggi Kuching untuk menangguhkan keputusan kehilangan kelayakannya dan pilihan raya kecil itu, sehingga mahkamah membuat keputusan.
Sebelum ini juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK bagi Dun Pujut diadakan pada 4 Julai depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun depan.
PRK itu diadakan selepas kekosongan kerusi DUN Pujut ekoran pelucutan penyandangnya, Tiong Choon.
Pada 12 Mei lalu, DUN Sarawak telah meluluskan usul melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai wakil rakyat dari DAP kerana mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia. – MalaysiaGazette.