Temubual bersama Timbalan Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Mohammad Noorizzuddin Nooh pada Program Menyantuni Warga HIV Rumah Darul Ukhwah Yayasan Al Ijabah Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JUN 2017

PUCHONG – Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (JSM) menyeru masyarakat untuk turut sama membantu para pesakit HIV sekaligus mengikis sikap diskriminasi terhadap golongan tersebut.

Timbalan Presiden PJSM, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, masyarakat disarankan untuk menyelami kehidupan pesakit HIV daripada dekat kerana ia mampu memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka yang selama ini disisihkan.

“Bak kata orang ‘alah bisa tegal biasa’, saya ketika kali pertama sama juga macam segelintir masyarakat yang lain, malah ketika menganjurkan program ini pada tahun yang pertama ada dalam kalangan ahli kami yang takut nak masuk namun makin lama mereka akhirnya faham dan berani untuk mendekati para pesakit ini.

“Saya sendiri secara peribadi melihat setelah hampir lima tahun kami melaksanakan program seumpama ini bila datang sini saya terus tidur kat dalam (bersama pesakit HIV).

“Alhamdulillah, setakat hari ini saya tak ada lagi rasa takut macam tu lagi dan saya rasa adik-adik kita (ahli PJSM) selepas beberapa kali datang sini turut berkongsi pengalaman yang sama seperti saya,” katanya.

Terdahulu JSM bersama sekumpulan sukarelawan mengadakan program Menyantuni Warga HIV di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah yang terletak di Kampung Tengah Puchong, Selangor semalam.

Selain mengadakan sesi ramah mesra bersama para pesakit, JSM turut menghulurkan sumbangan berupa lampin pakai buang, pek makanan dan sebagainya.

Noorizzuddin turut menggesa mana-mana individu yang berkemampuan untuk turut sama tampil bagi menghulurkan bantuan.

“Saya tak nampak apa yang jijik dengan pengidap HIV ini, jomlah kita dekati mereka kerana mereka ini sama seperti kita daripada unsur yang sama jadi saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia dan mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan seperti ini.

“Saya turut dimaklumkan pada tahun ini mereka terdapat banyak kekurangan kerana orang-orang yang sering menghulurkan bantuan sebelum ini tidak datang

Darul Ukhwah yang mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong lalu, diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin kerana mahu menyelamatkan akidah pesakit HIV Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Temubual bersama Timbalan Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Mohammad Noorizzuddin Nooh pada Program Menyantuni Warga HIV Rumah Darul Ukhwah Yayasan Al Ijabah Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JUN 2017

Rumah Perlindungan HIV yang bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat memperuntukkan sebanyak RM40,000 setiap bulan untuk kos pengurusan.

Selain bantuan penjagaan dan pemulihan berbentuk rawatan kesihatan yang dikawal selia oleh hospital kerajaan, Darul Ukhwah turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Aids Malaysia untuk menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan.

Sehingga kini Darul Ukhwah menjaga seramai 25 tahun penghuni lelaki yang berumur 28 sehingga 55 tahun.-MalaysiaGazette