Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ngeri sehingga mengakibatkan tujuh maut termasuk lima rentung di Ladang Risda Palong, Jempol pada kira-kira 2.20 petang, hari ini.?Nahas membabitkan sebuah treler, Perodua Myvi dan Proton Exora.--fotoBERNAMA (2017)
SEREMBAN – Lapan maut termasuk enam rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, dekat sini kira-kira pukul 2.20 petang semalam.

Kemalangan itu melibatkan sebuah treler, sebuah Perodua Myvi, sebuah kenderaan pelbagai guna Proton Exora dan sebuah Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata mereka yang maut termasuk suami isteri dikenali sebagai Osman Mohamed Taip dan isterinya Rosniza Othman yang berada dalam Perodua Myvi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang datang dari arah Keratong menghala ke Bahau cuba memotong sebuah motosikal yang membawa peti aiskrim tetapi tidak lepas lalu membrek trelernya.

Treler itu kemudiannya telah memasuki laluan bertentangan di sebelah kanan dan dalam masa sama sebuah Myvi yang datang dari arah bertentangan itu cuba mengelak treler berkenaan menyebabkannya memasuki ke kiri jalan dan bertembung dengan sebuah Vios dari arah Keratong ke Bahau.

“Kemudian telah datang Exora dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak treler namun gagal dan terperosok di bawah treler lalu terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Noorzainy berkata akibat kemalangan itu, Exora itu hangus terbakar 100 peratus manakala treler hangus 50 peratus.

“Pemandu treler dan pemandu Vios tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi penumpang yang berada di dalam Myvi cedera,” katanya.

Identiti enam mangsa yang rentung masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan kesemua mangsa terbakar di tempat kejadian,” katanya.

Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu treler didapati negatif dadah dan kesemua mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital Jempol untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Jempol malam ini, Noorzainy berkata seorang penumpang Myvi yang sebelum ini dilaporkan cedera dikenali sebagai Muhammad Alifthaqif Osman berusia tiga tahun merupakan anak kepada pemandu Myvi berkenaan, Osman Mohamed Taip.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Myvi tersebut bersama isterinya tercampak keluar daripada kenderaan sejurus kemalangan. Anak lelakinya masih berada di dalam kereta tetapi mengalami patah bahu kiri dan dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan,” katanya.

Mengulas mengenai enam mangsa yang rentung di dalam Exora, Noorzainy berkata bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kebanyakan mereka tersepit di bawah treler.

“Kita masih tunggu waris mangsa sebelum kita dapat kenal pasti identiti mereka. Jika perlukan ujian DNA kita akan jalankan,” katanya.

Katanya pemandu treler berusia 44 tahun yang membawa muatan kelapa sawit itu kini ditahan dan akan direman esok untuk siasatan lanjut.

“Pemandu treler ini telah 15 tahun memandu lori. Untuk siasatan lanjut, treler ini akan dibawa ke Puspakom untuk semakan jika terdapat masalah teknikal berdasarkan apa yang dimaklumkan pemandu bahawa ketika membrek treler berkenaan seakan hilang keseimbangan,” katanya.

Kesemua mangsa yang maut akan dibedah siasat, esok, katanya.

Noorzainy turut menasihatkan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui Jalan Keratong-Bahau berikutan keadaan muka bumi laluan itu yang agak berbahaya.

“Laluan ini boleh dikatakan sebagai laluan hotspot (panas) kemalangan maut kerana ia agak sempit, dan beralun serta sering digunakan lori. Kami percaya ini juga salah satu punca menyumbang kemalangan maut,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast