Home Nasional FGV: Ku Li cadang Isa digantung tugas

FGV: Ku Li cadang Isa digantung tugas

GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razalegh Hamzah mencadangkan Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad digantung tugas sementara siasatan kes dijalankan.

Ia berikutan, beliau melihat keperluan berbuat demikian ke atas Isa yang dipilih melalui lantikan politik, lapor Astro Awani.

Tengku Razaleigh bagaimanapun yakin kemelut yang melanda pihak pengurusan FGV akan dapat ditangani dengan baik.

“Pandangan saya sama kalau benda tu merugikan perjuangan politik apatah lagi kepentingan rakyat, maka wajar keputusan dibuat supaya tidak meneruskan keadaan sedemikian rupa yang jelas merugikan kita kalau itulah kesimpulannya,” katanya media selepas majlis berbuka puasa peringkat Parlimen Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.

Minggu lalu, Lembaga Pengarah GFV mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha diarah bercuti sementara menunggu penyiasatan berkaitan urus niaga tertentu anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

Mohd Isa sebelum ini juga berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FGV kerana tidak ada sebab untuk beliau berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast