KUALA LUMPUR –Â Lebih 245 bekas pekerja ladang di Kuala Selangor meminta kerajaan negeri Selangor mendesak Berjayacity Sdn. Bhd. menunaikan janji membina kediaman tetap untuk mereka.
Mereka meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak meluluskan penjualan tanah, cubaan pindah milik, pecah sempadan atau tukar syarat oleh syarikat itu sehingga syarikat itu menunaikan janjinya..
Lima ladang itu adalah Ladang Mary, Nigel Gardner, Sungai Tinggi, Minyak dan Bukit Tagar.
Wakil penduduk dari Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvam berkata, Bercayacity membuat janji itu sejak 1998 tetapi gagal menunaikannya sehingga hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut menulis surat kepada Pengerusi Berjaya Corporations Berhad, Tan Sri Vincent Tan pada 15 Mei lalu namun tidak dibalas sehingga sekarang.
“Pada awalnya dia bersetuju menyediakan tanah 4,000 kaki persegi dan membina rumah untuk kesemua 245 keluarga bekas peladang, tetapi tiba-tiba dia menukar rancangan itu kepada pemberian pampasan wang RM20,000 sahaja.
“Ia tidak dipersetujui oleh penduduk ladang sehingga perkara ini dirujuk kepada Azmin Ali dan juga beberapa wakil rakyat dan exco negeri itu untuk penyelesaian muktamad.
“Apa yang pelik, syarikat itu berjanji kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Khir Toyo, menteri besar ketika itu dan dua exco bertanggungjawab iaitu Dr. Xavier Jayakumar serta V. Ganabati Rao, tetapi janji tinggal janji dan penduduk terus menderita,” katanya pada sidang media khas di ibu negara.
Tambah Arutchelvam, pekerja-pekerja ladang itu juga mendapat tahu bahawa Berjayacity telah menjual tanah yang diduduki pekerja ladang itu Tagar Properties Sdn.Bhd.
Pada 11 Mac 2016, Tagar Properties menghantar notis meminta bekas peladang mengosongkan ladang sebelum 15 April 2016, tetapi syarikat tersebut bersetuju menangguhkannya sehingga Berjayacity menyelesaikan masalah perumahan terbabit.
Lebih 20 orang penduduk mewakili bekas pekerja ladang itu hadir pada sidang media tersebut bagi menyuarakan masalah mereka.
“Apa yang kami mahukan sekarang ialah kerajaan negeri menggunakan Akta Tanah Negara menerusi Seksyen 214 menyekat sebarang penjualan atau pindahan tanah sehingga perumahan untuk pekerja ladang diselesaikan seperti yang disyaratkan akta itu.
“Malah kita juga nak rumah untuk kesemua 245 keluarga bekas pekerja ladang itu didirikan di atas tanah satu kawasan sahaja bukan lima kawasan berlainan, apa yang susah sangat untuk tunaikan janji,” katanya.
Menurut wakil Ladang Bukit Tagar, Muhammad Ali Abdullah, 57, berkata, mereka dijanjikan rumah tetap oleh Berjayacity namun ia masih tidak dilaksanakan walaupun membuat protes di hadapan pejabatnya pada 13 April lalu.
“Kami takut akan memikirkan masa depan keluarga dan anak kami kerana tiada perumahan tetap untuk meneruskan kehidupan.
“Apa yang mengejutkan kami adalah sebelum mendirikan rumah yang dijanjikan, syarikat itu sudah menjual kelima-lima ladang berkenaan kepada Tagar Properties, yang mana kami bertambah risau akan dihalau di masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu wakil Ladang Mary, V. Nagappan, 61, pula mendakwa masalah mereka turut dirujuk kepada wakil kementerian namun tiada perkembangan positif setakat ini.
“Ahli-ahli politik termasuk MIC sudah lepas tangan yang mana ladang kami hanya menjadi tempat tumpuan sewaktu pilihan raya sahaja pada setiap lima tahun sekali, kami tidak dilayan sebagai manusia pun dalam masalah perumahan ini,” keluhnya.
Wakil Ladang Nigel Gardner yang dikenali sebagai Vasu memberitahu, mereka masih menaruh harapan kepada kerajaan negeri dan pusat untuk tampil membela nasib mereka dan masyarakat India dari lima ladang tersebut.
“Kami bukannya minta rumah banglo atau mewah, hanya lot tanah kekal dengan sebuah rumah tetap untuk kami meneruskan kehidupan dan itu hak kami sebagai bekas peladang yang menyumbang kepada komoditi negara.
“Apa masalahnya untuk kerajaan negeri dan pusat memanggil syarikat terbabit dan menegur untuk menunaikan janjinya menyediakan perumahan tetap,” katanya. – MalaysiaGazette