MUAR – Enam buah kilang perabot dan dua kilang mengusahakan peralatan serta barangan mekanikal musnah dalam kebakaran di Parit Ulu, Jalan Bakri, di sini dalam kejadian kira-kira pada pukul 11.10 malam tadi.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II, Jahari Bahari berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang ramai berhubung kejadian tersebut.
Tambahnya, semasa pihaknya tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan sudah mula merebak ke kilang bersebelahan.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran,” katanya seramai 40 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.
Tambahnya, selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak melibatkan lima jentera turut membantu dalam memadam kebakaran itu yang berjaya dikawal dua jam kemudian. – MalaysiaGazette.