Home Nasional Jenazah 6 sekeluarga selamat dikebumikan satu liang lahad

Jenazah 6 sekeluarga selamat dikebumikan satu liang lahad

BACHOK – Jenazah enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan, Ahad lepas, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat di sini, pada jam 3.30 pagi ini.

Enam beranak tersebut ialah Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; dan isteri Mas Noraida M Yusoff, 45, empat anak mereka iaitu Wan Muhamad Muhaimin, 22; Wan Nor Atirah, 18; Wan Muhamad Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisha, 7.

Dalam kejadian jam 2.20 petang Ahad lepas di Jempol, lapan maut, dengan enam daripada keluarga berkenaan rentung, manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler,

Enam jenazah tersebut, yang dibawa menggunakan empat buah kenderaan jenazah dari Hospital Jempol, tiba di Masjid Naim, Jelawat di sini kira-kira jam 1 pagi.

Kesemua jenazah kemudiannya disembahyangkan di masjid berkenaan oleh kira-kira 200 orang jemaah termasuk anggota keluarga dan penduduk.

Kesemua jenazah kemudiannya dibawa dengan kenderaan jenazah ke tanah perkuburan yang terletak hampir satu kilometer dari masjid itu untuk disemadikan dalam satu liang lahad.

Sementara itu, waris terdekat keluarga berkenaan iaitu satu-satunya anak arwah, Wan Muhamad Hazim,19, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah keluarganya itu. – MalaysiaGazette