Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Ramlan Ibrahim (dua kiri) meyampaikan sumbangan kepada Ustaz Jamaluddin Ahmad dari Sek. Men. Keb. Agama Maahad Hamidiah, Kajang pada Majlis Iftar anjuran Wisma Putra, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR

PUTRAJAYA – Malaysia akan terus komited mempromosi amalan kesederhanaan sebagai satu pendekatan yang menjadi penghubung sebarang perbezaan dan menangani punca tercetusnya konflik.

Langkah itu akan menggalakkan jalan penyelesaian dengan cara aman dalam sebarang pertikaian, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim hari ini.

“Amalan kesederhanaan perlu kerana ia akan menjadi jambatan utama yang menerapkan nilai saling hormat-menghormati dan berdialog untuk menemui jalan penyelesaian sesuatu konflik.

“Kesederhanaan inilah alat utama yang boleh digunakan untuk mencari penyelesaian untuk keamanan global dan pembangunan termasuk untuk ummah,” katanya dalam ucapan di Majlis Berbuka Iftar Ramadan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman Bersama Warga Wisma Putra di sini malam tadi.

Pada majlis sama, Anifah menyerahkan bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk 40 anak-anak yatim, pelajar-pelajar tahfiz dari Sekolah Anak yatim Tahfiz Al Kitab, Beranang Selangor serta ibu-ibu tunggal.

Lebih 500 orang pegawai dan kakitangan Wisma Putra dan wakil duta-duta asing ke Malaysia hadir memeriahkan majlis berbuka puasa itu.

Pada majlis yang sama, tambah Ramlan Malaysia telah berjaya melengkapkan tempoh dua tahun sebagai ahli Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu (UNSC) yang dilantik.

Justeru katanya, Malaysia amat berbangga kerana melaksanakan misi dan tanggungjawab yang diamanatkan PBB itu antara lain dengan lebih profesional dengan prinsip kesederhanaan, inklusif dan telus.

“Dengan ini saya ingin mengambil peluag ini untuk merakamkan penghargaan Malaysia kepada semua negara anggota PBB kerana bukan sahaja menyokong pencalonan kami, juga bagi sokongan dan dorongan ketika berkhidmat pada ahli UNSC, tegasnya lagi.
– MalaysiaGazette