Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM92.8 bilion bagi bulan April 2017 dengan pertumbuhan sebanyak 9.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Nilai jualan itu meliputi perniagaan perdagangan borong (RM45.2 bilion), perdagangan runcit (RM36.3 bilion) dan kenderaan bermotor (RM11.4 bilion).

Menurut Jabatan Statistik, pertumbuhan positif ini disumbang oleh perniagaan perdagangan runcit (12.9 peratus).

Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 7.3 peratus kepada 150.2 mata bagi bulan April 2017 berbanding bulan April 2016.

Petumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam Perdagangan Runcit (10 peratus). Indeks volum pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit menurun 0.9 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya, katanya.

Nilai jualan bagi perniagaan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan 8.6 peratus kepada RM45.2 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan bagi perniagaan ini merosot 3.8 peratus.

Menurut jabatan itu, indeks volum perdagangan borong meningkat 6.1 peratus kepada 160.5 mata pada bulan April 2017 berbanding April 2016.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum perdagangan borong (pelarasan bermusim) menurun 0.7 peratus berbanding bulan sebelum.

Perniagaan perdagangan runcit merekodkan peningkatan nilai jualan kepada RM36.3 bilion atau 12.9 peratus berbanding setahun yang lalu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, perniagaan ini mencatatkan penurunan 3.6 peratus.

Indeks volum perdagangan runcit meningkat 10 peratus kepada 153.3 mata pada bulan April 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berbanding dengan bulan Mac 2017, indeks volum pelarasan bermusim perdagangan runcit meningkat 0.2 peratus.

Pada bulan ini, nilai jualan bagi perniagaan kenderaan bermotor meningkat 4.0 peratus kepada RM11.4 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, nilai jualan perniagaan kenderaan bermotor menurun 11.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan tahun ke tahun, indeks volum kenderaan bermotor meningkat 2.5 peratus kepada 115.4 mata pada bulan April 2017, tambahnya.

Indeks volum pelarasan bermusim kenderaan bermotor menurun 8.5 peratus pada bulan April 2017 berbanding bulan Mac 2017. – MalaysiaGazette