MADRID – Real Madrid sudah bersedia untuk mendapatkan khidmat bintang berbisa Monaco FC, Kylian Mbappe dalam masa terdekat.
Perpindahan itu hanya akan berlaku sekiranya penyerang bukan pilihan utama Los Blancos, Alvaro Morata berjaya melengkapkan perpindahannya ke Manchester United minggu ini.
Mbappe,18, merupakan salah seorang pemain buruan utama Real Madrid menjelang jendela perpindahan pada 1 Julai ini.
Pengurusnya, Zinedine Zidane mahu mengukuhkan lagi juara Liga Juara-Juara Eropah itu.
Pemain sayap itu cemerlang dengan Monaco dengan membantu pasukannya merangkul Ligue 1 dan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Bagaimanapun, sumber di Perancis melaporkan Monaco tidak sanggup untuk melepaskan pemain muda itu dan akan menuntut tawaran tertinggi sekiranya mana-mana kelab berminat untuk mendapatkannya.
Dana tidak menjadi masalah besar untuk the Galacticos untuk menyunting pemain itu ke Santiago Bernabeu.
Laporan media di Sepanyol mendakwa Presiden kelab itu, Florentino Perez bersedia menawarkan bidaan rekod dunia £132 juta untuk pemuda itu.
Real menetapkan nilai pembelian £70 juta sekiranya Red Devils mahu mendapatkan Alvaro Morata untuk menggantikan Zlatran Ibrahimovic yang telah dilepaskan dari Theatre of Dreams.