Sebahagian daripada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kes bunuh seorang Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 22 Mei lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Mei lalu.

Seorang lagi penuntut universiti berkenaan didakwa bersubahat dengan lima tertuduh terbabit.

Kesemua lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berusia 21 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Zulfarhan di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, pada 22 Mei lalu.

Sementara itu, Abdoul Hakeem Mohd Ali, 21, didakwa dengan pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh terbabit untuk membunuh mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Arwah Zulfarhan Osman, 21, merupakan penuntut tahun ketiga jurusan kejuruteraan elektrik UPNM.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun, selepas dihantar untuk mendapatkan rawatan oleh beberapa rakan.

Mangsa memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di dada, tangan dan kakinya, dipercayai didera.

Kesemua mereka yang ditahan reman berusia antara 20 dan 21 tahun.

Sementara itu pada prosiding petang ini di mahkamah sama, keenam-enam tertuduh bersama 13 lagi penuntut lain, mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri; Muhammad Sufi Mohd Mustapha Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Akmal Akif Alias; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany; Mohamad Syazwan Musa, kesemua berumur 21 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan
di bilik 04-10, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette