KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedih dengan sikap umat Islam suka membazir sepanjang menyambut kemeriahan Ramadan.
Beliau berkata, pembaziran itu berpunca daripada kegagalan mengekang hawa nafsu menyebabkan mereka rambang mata dan tidak kisah untuk memperuntukan perbelanjaan yang tinggi dalam menyedia dan membeli juadah berbuka puasa.
“Dalam kemeriahan Ramadan dan tidak lama lagi Syawal, kita sering terlupa kita telah melakukan pembaziran.
“Ironi sekali apabila Ramadan yang dikatakan sebagai bulan kita mengekang hawa nafsu bertukar menjadi bulan yang mana kita membazir seolah menjadi kebiasaan,” katanya menerusi blog beliau, Najibrazak.com semalam.
Beliau berpesan, bahawa Ramadan sepatutnya membantu mendidik umat Islam bersikap sederhana dan berjimat cermat.
“Malangnya, fenomena yang sering kita saksikan di bulan Ramadan adalah pembaziran makanan itu sendiri.
“Perasaan lapar dan dahaga pada saat berpuasa membuatkan kita rambang mata serta tidak kisah untuk memperuntukan perbelanjaan yang tinggi bagi menyediakan juadah berbuka puasa sama ada di kedai mahupun di bazar.
Najib turut menyatakan statistik pembaziran makanan setiap tahun sepanjang Ramadan mencecah sehingga 270,000 tan.
“Rakyat kita dianggarkan membuang 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan jika disusun longgokan makanan itu, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah bangunan KLCC.
“Ini perkara membimbangkan kerana kita bagaikan tidak kisah untuk membuang makanan yang masih tidak diusik walau pada masa sama ada antara kita masih mengalami kesempitan hidup,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap, dalam menghampiri 10 malam terakhir Ramadan ini, terapkanlah disiplin berbelanja.
“Belanjalah mengikut keperluan, bukan mengikut hawa nafsu. Marilah kita sama-sama mengambil peluang mendidik jiwa agar dijauhkan daripada segala bentuk pembaziran yang merugikan,” katanya. – MalaysiaGazette