Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melihat gambar-gambar yang dipamerkan pada Pameran Fotografi Islamik "Al-Jamal : The Beauty of Islam In Malaysia" di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan agar Pameran Fotografik Islamik Malaysia dijadikan acaran tahunan pada setiap bulan Ramadan dalam kalendar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi merancakkan lagi program-program untuk menarik para pelancong ke Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, langkah penganjuran pameran tersebut dapat dijadikan salah satu medium publisiti dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan.

“Ianya dilihat satu program yang dapat merancakkan kalendar program MaTiC dan juga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan secara amnya.

“Sesungguhnya saya melihat pameran ini satu inisiatif yang baik dalam usaha menarik para pelancong mengetahui keunikan negara Malaysia khususnya dalam konteks industri pelancongan dan kebudayaan. Ini sekaligus dapat dijadikan satu medium publisiti serta mempromosikan sesebuah destinasi khususnya negara Malaysia,” kata Nazri semasa merasmikan Pameran Fotografi ‘Al-Jamal : The Beauty of Islam in Malaysia’ yang diadakan buat kali pertama di Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) hari ini.

Pameran tersebut sudah mula diadakan mulai 5 Jun lalu dan akan berakhir pada 30 Jun nanti selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kira-kira 20 jurufoto terlibat dalam pameran ini dengan 80 buah karya fotografi dipamer dengan tema ‘Al Jamal’ yang membawa maksud keindahan dan kecantikan.

Menurut Nazri, sekiranya pameran sama mahu diadakan setiap tahun, MaTiC sedia menjadi penganjur dan menyediakan lokasi untuk mereka pamerkan karya mereka.

“Saya nak cadangkan kalau boleh buat tiap-tiap tahun disini.

“Jadi ini bermakna jurufoto ini akan mengambil gambar bermula dari sekarang dan akan dipamerkan pada tahun depan. Saya sebagai menteri akan sediakan tempat untuk mereka pamerkan karya, kalau tiga minggu pameran pun tiga minggu lah,” katanya.

Jelasnya, pameran sedemikian amat penting kerana ia dapat memberikan pengetahuan dan kefahaman tentang latar belakang masyarakat Islam di Malaysia kepada para pelancong yang datang.

Selain itu, pameran tersebut juga diadakan seiring dengan inisiatif kementeriannya untuk menarik minat pelancong menerusi foto-foto yang menarik dengan memperkenalkan hashtag #sayangmalaysia.

Rakyat Malaysia dan juga para pelancong disaran untuk berkongsi foto-foto mengenai Malaysia terutamanya media sosial demi merangsangkan industri pelancongan dan kebudayaan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast