KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersimpati dengan kejadian nahas pesawat Hawk 108 terhempas yang mengorbankan dua juruterbangnya semalam.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Allahyarham Mejar Hasri Zahari yang terkorban dalam nahas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Marang, khidmat cemerlang mereka sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amat disanjung tinggi oleh rakyat Malaysia.
“Marilah kita pohonkan doa agar kedua-dua mangsa ditempatkan bersama orang-orang soleh.
“Semoga ahli keluarga mangsa dan sahabat handai menerima ujian tersebut dengan penuh sabar dan tabah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dalam perkembangan terkini, jenazah Mejar Yazmi tiba di Pangkalan TUDM Subang kira-kira jam 9.30 pagi ini.
Jenazahnya kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Titiwangsa untuk dikebumikan, manakala jenazah Mejar Mohd Hasri diterbangkan terus ke Felda Lui Muda, Jempol, Negeri Sembilan.
Dalam operasi mencari dan menyelamat semalam, jasad kedua-dua juruterbang itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang semalam dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjung masing-masing, yang menunjukkan mereka telah melepaskan diri daripada pesawat itu.
Pesawat Hawk 108 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi semalam, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian. – MalaysiaGazette