Isteri, Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi (tengah) bersama anak-anaknya menyiram air mawar dipusara suaminya, mangsa nahas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof di Tanah Perkuburan Islam Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017, 16 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berbincang untuk menaikkan pangkat kedua-dua juruterbang yang terkorban sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah dicurah selama ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom berkata, pihaknya juga akan memberi bantuan bagi menaja pelajaran anak-anak kedua-dua Allahyarham sehingga selesai tempoh pelajaran mereka.

Menurutnya, bagi tujuan itu kementerian akan menggunakan dana yang akan ditentukan kelak.

“Kita amat sedih dengan apa yang berlaku. Kita akan bantu anak-anak mereka semua,” katanya ketika ditemui pada upcara pengkebumian Mejar Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39, ditanah perkuburan Islam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.

Mengulas mengenai insiden itu Johari berkata, siasatan nahas tersebut akan disegerakan bagi mencari puncanya.

Jeneral Datuk Seri Affendi Buang

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, kawasan hutan dan berpaya antara cabaran sukar ditempuh pasukan mencari bangkai pesawat pejuang Hawk 108, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, pasukan mencari yang terdiri daripada TUDM, tentera darat dan Polis Diraja Malaysia masih lagi mencari bangkai pesawat tersebut di lokasi penemuan kedua-dua mayat juruterbang itu.

“Kawasan hutan dan berpaya itu memang cabaran buat pasukan penyelamat. Malah, pemantauan menggunakan helikopter juga sukar mengesan sebarang petanda termasuk kepulan asap atau bekas terbakar,” ujarnya.

Afendi berkata, siasatan oleh Jawatankuasa Khas mengenai insiden malang itu akan mengambil masa lama jika bukti seperti bangkai pesawat lambat atau sukar dijumpai pasukan mencari.

Yazmi dan seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban apabila pesawat Hawk 108 yang diterbangkan mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai semalam.

Jasad mereka ditemui pada pukul 2.30 petang semalam, dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain, dengan payung terjun masing-masing yang menunjukkan mereka telah melepaskan diri dengan menggunakan kerusi lenting pesawat.

Pesawat Hawk 108 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada pukul 11 pagi semalam, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast