KUALA LUMPUR – “Jika ada air banjir di hadapan, sama ada kita akan melaluinya atau mengelak, sekiranya kasut basah kita akan keringkan semula. Ia adalah perilaku normal untuk pelajar sekolah tinggi atau kolej”
Demikian antara kritikan masyarakat laman sosial terhadap insiden yang berlaku di salah sebuah kolej di China.
Merujuk kepada gambar yang tersebar di laman media, beberapa orang pekerja pembersihan terpaksa dikerahkan untuk mendukung sekumpulan pelajar di Kolej Normal Liupanshui, GuiZhou,bagi mengelak daripada melalui kawasan banjir setinggi buku lali.
Antara gelaran yang diberikan terhadap kumpulan pelajar tersebut seperti ‘bayi gergasi’ dan ‘pelajar rosak’ sebagai gambaran remaja yang terlalu bergantung kepada ibu bapa untuk menyelesaikan sesuatu perkara meskipun remeh.
“Mereka terlalu manja sedangkan air hanya sedalam buku lali mereka. Untuk kanak-kanak tadika, ok lah tetapi untuk pelajar universiti, saya tidak faham,” kata salah seorang pengguna laman sosial Facebook. – MalaysiaGazette