Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong meramalkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan diadakan pada tahun ini seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah.

Katanya, partinya melihat tiada sebarang indikasi atau petanda PRU14 akan diadakan pada tahun ini dan menjangkakannya pada tahun depan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti hari ini membincangkan tentang persiapan menjelang PRU14 dan kini terdapat indikasi ia tidak akan berlaku tahun ini, yang pasti PRU takkan datang segera.

“Parti gerakan akan terus bekerja keras di kawasan-kawasan Parlimen menghadapi PRU14.

“Kami telah mengenalpasti 45 penyelaras Gerakan untuk menggerakkan kerja-kerja persiapan secara berkesan,” katanya pada sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu tengah hari ini.

Tambahnya, Gerakan tidak khuatir jika PRU diadakan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan kerana partinya sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

“Gerakan dan anggota kami bekerja bersungguh-sungguh turun padang dan bertemu masyarakat dalam menawarkan perkhidmatan terbaik sejak dahulu lagi.

“Cuma usaha itu digandakan kali ini, dan sebagai tambahan kita akan mengadakan latihan multimedia untuk kesemua 45 penyelaras kami.

“Calon Gerakan untuk PRU14 sudah ada tapi keputusan terakhir akan dimuktamadkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja,” katanyai.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast