KUALA LUMPUR – Polis menembak mati tiga orang penjenayah disyaki warga Indonesia di Dengkil, Selangor awal pagi ini kerana cuba menyerang anggota pasukan keselamatan itu dengan parang.
Ketiga-tiga suspek ditembak mati di kawasan perumahan Jenderam Harmoni kira-kira jam 4 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali.
Katanya, semasa kejadian sepasukan pegawai dan anggota polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sedang melakukan operasi Ops Rantau Sepang di kawasan perumahan itu.
“Anggota polis melakukan rondaan di kawasan hutan belakang perumahan (Jenderam Harmoni) sebelum terjumpa tiga lelaki yang berpakaian gelap dan mencurigakan itu.
“Ketika anggota peronda cuba menahan ketiga-tiga suspek untuk tujuan pemeriksaan, mereka bertidak agresif dengan menyerang polis menggunakan parang secara tiba-tiba.
“Sebagai langkah keselamatan dan mempertahankan diri, anggota kami melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki itu sebelum menembak mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Aziz, pihaknya menemui tiga bilah parang dan peralatan pecah rumah milik suspek.
“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette