TANGKAK – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri ini akan menyediakan 15 buah Pasar Tani Khas Pra-Syawal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan lebih murah bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, pasar tani yang akan dibuka bermula pada 7 pagi itu akan dijalankan di lokasi terpilih di 10 buah daerah.
Menurutnya, antara lokasi pasar berkenaan termasuklah di Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, di sini, aman Indahpura (Kulai), Sungai Abong (Muar), Kampung Melayu (Kluang) Taman Sri Sulong (Batu Pahat) dan beberapa lokasi lain.
“Kita berharap dengan adanya pasar tani khas itu, orang ramai mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan mereka lebih murah daripada harga pasaran,” katanya selepas melancarkan salah satu daripada pasar tani itu di sini hari ini.
Ismail berkata, potongan harga yang ditawarkan di pasar tani khas itu adalah antara lima hingga 20 peratus.
Sementara itu, beliau memberitahu, bekalan bagi komoditi daging lembu, ayam proses dan sayur-sayuran untuk negeri ini dijangka mencukupi untuk menampung keperluan musim perayaan. – MalaysiaGazette