Amiruddin Md. Ali Hanafiah

JOHOR BAHRU – Kenyataan disuarakan pemimpin pembangkang mahu menjadikan Johor sebagai Pulau Pinang kedua seolah-olah cuba menghancurkan keharmonian yang sudah wujud di negeri ini sejak sekian lama.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, PPJ mahu rakyat sedar akan perkara itu sekali gus tidak mahu gagasan Muafakat Johor cuba dipecahkan oleh politik cacamerba didukung politik nomad pembangkang.

Bagi PPJ, katanya, kerajaan negeri yang kini dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu dipertahankan kerana ia jelas memperjuangkan tamadun bangsa tamadun bangsa dan memartabatkan Islam.

“PPJ ingin menegaskan kerajaan di bawah MB Johor kini adalah kerajaan yang prihatin bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada perkembangan bahasa, sastera dan budaya serta meletakkan persuratan dan tamadun Melayu ke taraf antarabangsa.

“PPJ juga tidak mempunyai keyakinan langsung kepada kepimpinan Pakatan Harapan; terutama DAP dalam menyemarakkan dan memartabatkan bahasa dan sastera dan percayalah apabila DAP memegang tampuk pentadbiran di Johor, kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada tulisan jawi dan selamat jalan kepada Johor yang Islami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, selari dengan gagasan Johor Berkemajuan; persuratan dan tamadun bangsa Melayu turut berkembang dan tidak pernah diabaikan, lihat sahaja kewujudan Kompleks Warisan Abu Bakar yang menberi ruang kepada golongan seni dan penulis melaksanakan kegiatan.

Malah, katanya, kerajaan Johor turut mewujudkan Pusat Dokumentasi Johor sebagai tempat penyelidikan dan penyimpanan dokumentasi termasuk dokumen politik, ekonomi, apatah lagi tentang budaya dan anak-anak muda diberi ruang dan peluang menyuarakan isihati mereka melalui pelan suara hati.

Bagaimanapun, tambahnya, DAP di Pulau Pinang terus menyekat kebebasan bersuara.

“Anak-anak seni di Johor sentiasa diberi ruang untuk pementasan teater setiap bulan dengan geran khas sebanyak RM200,000 dan kegiatan budaya pula dilaksana dengan konsisten melalui geran tahunan RM 1juta kepada Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan turut dinikmati daerah-daerah lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, melihat senario Pulau Pinang, menimbulkan persoalan mengenai nasib para penulis dan penggiat seni dan budaya kerana di negeri itu tiada anugerah sastera untuk penulis sebagaimana Johor yang konsisten mengiktiraf penulis melalui Hadiah Sastera Darul Ta’zim dan penggiat budaya melalui Anugerah Budaya Johor.

Tegasnya, PPJ berharap rakyat Johor terutama penulis, guru, penggiat budaya, pencinta kedamaian bertindak dengan wajar dan membantu kerajaan menolak kehadiran pembangkang yang akan menjadi penyebab kepada pecahnya Muafakat Johor dan hilangnya Johor yang Islami.

“Pertukaran walaupun sekejap akan menyebabkan kita hilang segalanya. Tidak mustahil semua anugerah dan pengiktirafan ini akan dihapuskan. Buktinya, lihatlah di Pulau Pinang. Jadilah penulis dan warga yang berprinsip dan tidak mudah digula-gulakan. Jangan mudah terpedaya dengan lakonan DAP mencipta provokasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast